Pengurusan Keselamatan Kebakaran untuk Bangunan Warisan di Malaysia: Kajian Kes Muzium

Kertas kerja ini telah dibentangkan di dalam Seminar Kebangsaan Rupabandar Malaysia: Mengekal Warisan Membina Identiti, 28- 29 November 2007, Lumut, Perak.

Prosiding no. 48, m/s. 453 - 462

PENGURUSAN KESELAMATAN KEBAKARAN UNTUK BANGUNAN WARISAN DI MALAYSIA: KAJIAN KES MUZIUM

Nurul Hamiruddin Salleh¹ dan A.Ghafar Ahmad²

Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia

¹ hamiruddin@gmail.com

²aghafar@usm.my

ABSTRAK:

Terdapat lebih kurang 55 muzium di Malaysia yang menggunakan bangunan warisan sebagai premis institusi mereka. Muzium bukan sahaja menyimpan atau mempamerkan koleksi atau artifak warisan yang tinggi nilainya malah ia juga mempunyai nilai warisan seni bina yang berharga. Kedua-duanya adalah warisan negara yang tidak boleh ditukar ganti dan seharusnya dilindungi serta dipulihara dengan sebaik-baiknya. Dari aspek pengurusan bangunan warisan yang menyimpan artifak berharga, keselamatan kebakaran perlu dititikberatkan. Bangunan warisan yang dijadikan muzium perlu mempunyai sistem kawalan kebakaran dan pengurusan keselamatan kebakaran yang baik. Kebakaran memang telah diketahui bukan sahaja menjadi ancaman kepada penghuni bangunan tetapi juga ancaman terhadap nilai seni bina dan koleksi warisan bangunan terbabit. Sebanyak 37 muzium yang menggunakan bangunan warisan di Malaysia telah dilawati untuk mengenalpasti pengurusan dan kaedah semasa berkaitan keselamatan kebakaran di muzium terbabit. Kaedah yang digunakan adalah temuramah, pengamatan dan soal selidik. Hasil tinjauan mendapati kebanyakan muzium terbabit masih mempunyai pengurusan dan tahap keselamatan kebakaran yang lemah. Kertas kerja ini ada mencadangkan kaedah terbaik di dalam pengurusan keselamatan kebakaran untuk bangunan muzium warisan di Malaysia yang bukan sahaja mungkin dapat melindungi pengguna tetapi juga melindungi koleksi artifak bersejarah dan nilai sejarah seni bina bangunan terbabit ke arah pengekalan warisan kebangsaan yang terbaik.

Kata kunci: Pengurusan keselamatan kebakaran,sistem keselamatan kebakaran, muzium, bangunan awam warisan, pemuliharaan bangunan warisan.

1.0 Pengenalan

Di Malaysia terdapat banyak bangunan warisan yang mempunyai nilai seni bina dan sejarah yang dikategorikan di dalam beberapa kumpulan bangunan iaitu rumah tradisional Melayu, rumah kedai pra-perang dunia, bangunan kolonial, bangunan institusi dan bangunan keagamaan. Beberapa daripadanya telah disenaraikan sebagai Bangunan Warisan atau Bangunan Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Bagaimanapun, disebabkan pengurusan dan keselamatan kebakaran yang lemah beberapa bangunan warisan yang tidak boleh diganti ini telah menggalami kerugian sehingga jutaan ringgit dan ada yang musnah teruk disebabkan kebakaran seperti yang berlaku ke atas Muzium Rakyat di Melaka (2001), Rumah Pak Ali di Kuala Lumpur (2003) dan Bangunan Kelab Sarawak di Kuching (2006), (Jadual 1.0). Secara lazimnya, apabila kebakaran berlaku dan tidak dapat dikawal beberapa perkara boleh berlaku antaranya:

1) Kematian dan kecederaan manusia;

2) Kemusnahan bangunan, isi bangunan dan harta benda yang lain;

3) Bangunan terpaksa di tutup sama ada sementara atau selama-lamanya yang mengakibatkan kerugian dan seterusnya boleh menyebabkan muflis; dan

4) Kemusnahan benda-benda warisan yang bernilai dan tidak boleh ditukar ganti .

Tarikh

Nama

bangunan

Tahun

dibina

Kegunaan

Anggaran kerugian (RM)

Punca kebakaran

17 Sept. 1992

Muzium Negara Malaysia,

Kuala Lumpur

1959

Muzium

RM 100,000

Litar pintas

1999

Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur

Panggung

2 Dis. 2001

Muzium Rakyat, Kecantikan dan Layang-layang, Melaka

Muzium

Litar pintas

20 Okt. 2003

Rumah Pak Ali,

Kampung Kerdas, Gombak

1876

Muzium

> RM 1 juta

Litar pintas

27 Jun 2005

23 Rumah Kedai Sebelum Perang Dunia,

Meru, Klang

1920 -1930

Rumah kedai

RM 5 Juta

27 Jun 2005

13 Rumah Kedai Sebelum Perang Dunia, Kampung Sentosa, off Jln Klang Lama, KL

1920 -1930

Rumah kedai

> RM 500,000

17 Jul. 2006

Rumah Kedai, Jalan Laksamana, Bandar Hilir, Melaka

> 1806

Rumah kedai

27 Jul. 2006

Bangunan Kelab Sarawak , Kuching

1876

Rumah kelab

24 Jul. 2007

Kelab Sukarelawan Polis Diraja Malaysia Ipoh

1910

Rumah kelab

30 Sept. 2007

Kuarter Pegawai Kanan Polis PULAPOL,

Kuala Lumpur

1940

Kuarter

RM 300,000

Litar pintas

Jadual 1.0: Statistik kebakaran bangunan warisan di Malaysia dari 1992 – 2007

2.0 Kebakaran dan Bangunan Warisan

Di Malaysia, kebakaran memang diketahui telah memberi ancaman kepada nyawa, hartabenda dan alam sekitar. Pada tahun 2006 sahaja ia telah mengakibatkan kerugian sebanyak lebih RM 760 juta di mana 71 nyawa terkorban dan 86 orang cedera (Jadual 2.0), di mana daripada 18,913 kes kebakaran yang berlaku pada tahun 2006, sebanyak 3,353 (18%) kes adalah melibatkan kebakaran bangunan.

Panggilan

Kebakaran

Akibat kebakaran

Kerugian

(RM)

Mati

Cedera

JUMLAH

18913

71

86

760,682,593.45

Jadual 2.0 : Perangkaan Kebakaran di Malaysia Bagi Tahun 2006

(Sumber: JBPM)

Kebakaran bangunan kebiasaannya berlaku tanpa memberi sebarang amaran dan memberikan pengguna bangunan terbabit mempunyai sedikit masa untuk bertindak sama ada untuk memadam kebakaran itu ataupun menyelamatkan diri. Kidd (2001) dan Mohd Fadzil (1997) menyatakan terdapat empat peringkat kemarakan api iaitu peringkat awal nyalaan (incipient fire), peringkat kemarakan (fire growth), peringkat kemarakan maksima (fully developed fire) dan peringkat penurunan kebakaran (fire decay). Kebakaran biasanya boleh dikawal daripada merebak sekiranya dikenal pasti di peringkat awal kemarakan ,tetapi menjadi kritikal apabila berada di peringkat kemarakan dan peringkat kemarakan maksima (Rajah 1.0). Oleh itu, pencegahan risiko kebakaran adalah merupakan kaedah yang paling efektif untuk mengelakkan ancaman kebakaran umpama perpatah ‘mencegah lebih baik dari mengubati’ atau ‘sediakan payung sebelum hujan’. Tanggung jawab keselamatan kebakaran untuk bangunan warisan perlu dilakukan bersama-sama di antara pemilik bangunan, pengguna (kakitangan dan pelawat) dan pihak berkuasa kerana kemusnahan koleksi bersejarah dan bangunan yang di anggap warisan negara akibat kebakaran adalah kehilangan untuk selama-lamanya dan tidak dapat dikembalikan lagi. Namun begitu, pihak pemilik/pengurus bangunan adalah pihak yang memainkan peranan paling utama iaitu mereka perlu mempunyai pengurusan keselamatan kebakaran yang cekap untuk bangunan warisan di bawah jagaan mereka. Keselamatan kebakaran adalah merupakan aspek kawalan yang terpenting tambahan pula kebanyakan bangunan warisan di Malaysia sangat terdedah dengan ancaman kebakaran kerana:

a) Binaan bangunan yang reput/tidak kuat dan mudah terbakar seperti kayu;

b) Tidak mempunyai sistem kawalan kebakaran yang lengkap atau baik, terutamanya sistem kawalan pasif;

c) Kurang kesedaran keselamatan kebakaran di kalangan pemilik, kakitangan dan orang ramai;

d) Kelemahan pihak pemilik/pengurusan bangunan di dalam memastikan bangunan mereka dalam keadaan selamat dan tidak terdedah kepada bahaya;

e) Sesetengah bangunan bersejarah tidak mempunyai akses yang baik bagi perkhidmatan bomba seperti terletak di kawasan yang sibuk dan lorong-lorong kecil;

f) Kebanyakannya masih menggunakan sistem pendawaian elektrik yang lama atau usang;

g) Menyimpan koleksi sejarah yang merupakan bahan mudah terbakar seperti buku, manuskrip, pakaian lama, artifak dan sebagainya;

h) Bilangan pengguna yang ramai kerana dibuka kepada awam;

i) Risiko kerja-kerja pengubahsuaian;

j) Faktor alam sekitar seperti cuaca panas dan panahan petir; dan

k) Kelalaian atau perbuatan kianat.

-tiada-

Rajah 1.0: Lengkungan Kemarakan Api (Fire Growth Curve)

(Sumber: Kidd, 2001: 12)

3.0 Akta Keselamatan Kebakaran Bangunan dan Warisan di Malaysia

Dalam memperkatakan keselamatan kebakaran untuk bangunan warisan di Malaysia terdapat empat akta dan undang-undang utama yang berkaitan terus dengannya, ini merangkumi dua aspek utama iaitu keselamatan kebakaran bangunan dan bangunan warisan. Setiap akta atau undang-undang tersebut walaupun mempunyai skop-skop yang berlainan tetapi ia perlu dirujuk bersama-sama bagi memastikan ia mematuhi peraturan-peraturan dan keperluan yang optimum. Keempat-empat akta dan undang-undang yang terlibat adalah dinyatakan di dalam Jadual 3.0.

Keselamatan Kebakaran Bangunan

Bangunan Bersejarah

1) a)Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984)- Semenanjung Malaysia dan Sabah

b) Ordinan Bangunan - Sarawak

2) Akta Perkhidmatan Bomba 1988

( Akta 341)

3) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514)

1) a) Akta Warisan Kebangsaan 2005

(Akta 645)

b) Ordinan Warisan Budaya Sarawak 1993 - Sarawak

Jadual 3.0: Senarai akta-akta yang berkaitan keselamatan kebakaran bangunan bersejarah di Malaysia

3.1 Keselamatan Kebakaran Bangunan

3.1.1 Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984)

Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL 1984) ini telah diwartakan pada 1984 di bawah Akta 133: Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. UBBL 1984 ini terbahagi kepada sembilan bahagian, di mana dua bahagian daripadanya adalah berkaitan pencegahan kebakaran iaitu Bahagian VII: Kehendak-kehendak Menentang Kebakaran dan Bahagian VII: Penggera Kebakaran, Pengesan Api, Pemadam Api dan Akses Menentang Kebakaran. Namun demikian UBBL 1984 ini lebih bersesuaian untuk pembinaan bangunan baru dan tidak boleh diapplikasikan secara menyeluruh ke atas bangunan warisan terutamanya dari segi pemasangan kehendak-kehendak menentang kebakaran secara pasif. Ini memang menjadi satu masalah kepada akitek atau perunding bila mengubahsuai bangunan warisan kerana kebanyakan bangunan warisan dibina sebelum UBBL 1984 ini digubalkan.

3.1.2 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341)

Akta 341 adalah suatu Akta bagi membuat peruntukan yang perlu untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berfungsi dengan berkesan dan cekap, untuk melindungi manusia dan harta daripada risiko kebakaran dan untuk tujuan-tujuan yang berkaitan dengannya. Akta yang telah diperkenalkan pada 1988 ini menekankan kepentingan sistem pencegahan dan kawalan kebakaran di dalam bangunan yang perlu dipatuhi oleh pemilik bangunan untuk memastikan tiada sebarang kecederaan dan kesukaran menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran di bangunan terbabit. Matlamat utama Akta 341 diwujudkan adalah:

a) Mencegah berlakunya kebakaran;

b) Mencegah kehilangan nyawa dan harta benda apabila berlaku kebakaran;

c) Mengurung sesuatu kebakaran di tempat ianya bermula dan memadamkannya; dan

d) Aktiviti melibatkan pencegahan dan penentangan kebakaran.

3.1.3 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514)

Akta 514 telah diwartakan pada 24 Februari 1994 adalah akta induk kepada semua akta berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Secara amnya Akta 514 mempunyai empat tujuan utama iaitu:

a) Memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja;

b) Melindungi orang di tempat kerja selain daripada pekerja di tempat tersebut;

c) Menggalakkan suatu persekitaran pekerjaan yang sesuai dengan keperluan fisiologi dan psikologi mereka; dan

d) Menyediakan kaedah di mana peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dapat diganti secara progresif dengan sistem peraturan dan kod amalan industri yang beroperasi bersama dengan peruntukan akta ini untuk mengekal atau meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan.

Akta 514 ini menetapkan tugas dan tanggung jawab am majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya. Antara tugas utama majikan ialah merangka dan melaksanakan dasar am atau polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan, organisasi dan perkiraan untuk menjayakan dasar tersebut (Bahagian IV dan V Akta 514).

Akta ini juga menjelaskan kewajipan am pekerja melibatkan diri dan bekerjasama di dalam semua program dan usaha yang berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dibuat oleh majikan mereka (Bahagian VI Akta 514). Di samping itu, pekerja perlu memberi perhatian dan mematuhi segala arahan keselamatan dan kesihatan yang dikeluarkan oleh majikan (Ismail, 2006: 14-15).

3.2 Bangunan Warisan:

Sekiranya sesebuah bangunan itu telah diisytiharkan sebagai Bangunan Warisan atau Bangunan Warisan Kebangsaan maka ia adalah termaktub kepada akta di bawah:

3.2.1 Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645)

Akta 645 adalah suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan, warisan semula jadi, warisan kebudayaan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan di bawah air, harta karun dan bagi perkara-perkara berkaitan. Akta ini telah diwartakan pada 31 Disember 2005 dan berkuatkuasa pada tarikh 1 Mac 2006. Dengan adanya Akta 645 ini maka Akta Bendapurba 1976 (Akta 168) dan Akta Harta Karun 1957 (Akta 542) telah dimansuhkan. Akta ini juga menyediakan mekanisme pengurusan khazanah warisan seperti penguatkuasaan, kewangan dan pengiktirafan kepada penggiat dan pengamal warisan. Menurut seksyen 2 Akta 645 bangunan warisan’ adalah di tafsirkan sebagai monumen’iaitu kerja seni bina yang mempunyai nilai sejagat yang menonjol dari pandangan sejarah seni atau sains. Namun demikian tidak dinyatakan di dalam Akta, lingkungan usia bangunan yang boleh dianggap sebagai bangunan warisan tidak seperti Akta Bangunan Bersejarah dan Monumen Lama Belanda yang menetapkan sesebuah bangunan warisan itu mesti sekurang-kurangnya berusia 50 tahun. Manakala artifak atau objek lain yang padanya terdapat kepentingan keagamaan, tradisional, artistik atau bersejarah adalah ditafsirkan sebagai ‘objek’ atau ‘objek warisan’ (seksyen 2 Akta 645). Walaubagaimanapun Akta ini tidak menyatakan secara khusus berkaitan keselamatan kebakaran untuk bangunan dan objek warisan, tetapi pemilik bangunan warisan perlu bertanggungjawab menyelenggara dan memastikan bangunan itu dengan baik dan memuaskan.

4.0 Prinsip Keselamatan Kebakaran Bangunan

Secara amnya, keselamatan kebakaran untuk sesebuah bangunan adalah mengutamakan tiga prinsip berikut:

1) Melindungi nyawa;

2) Mengelakkan kebakaran merebak ke bangunan bersebelahan; dan

3) Melindungi harta benda.

Namun di Malaysia , JBPM meletakkan keselamatan nyawa manusia adalah menjadi keutamaan di dalam keselamatan kebakaran sesebuah bangunan (Hamzah (Ed.), 2006). Ini hampir sama di England dan Ireland di mana peraturan yang berkaitan dengan bangunan dan kebakaran secara tradisinya menekankan kepada dua prinsip yang pertama; keselamatan harta benda seperti bangunan, perabut, aksesori, benda berharga dan bangunan terbabit kurang mendapat penekanan. (Pickard, 1993).

5.0 Keselamatan Kebakaran di Bangunan Warisan

Bangunan warisan dan bangunan baru adalah dibezakan berdasarkan nilai sejarah yang terdapat pada bangunan terbabit sama ada koleksi warisan yang terdapat di dalam bangunan mahupun estetik seni binanya.Oleh itu, terdapat pendekatan berbeza di dalam penyediaan keselamatan kebakaran untuk bangunan warisan, selain untuk melindungi nyawa dan mengelak kebakaran merebak ia juga menekankan kepentingan melindungi harta benda warisan iaitu bangunan dan koleksi bersejarah. Ini adalah kerana koleksi dan bangunan bersejarah ini adalah warisan negara dan tidak boleh ditukarganti sekiranya terbakar.

Kebiasaannya adalah mudah dan jelas untuk akitek dan jurutera perunding untuk merekabentuk sistem keselamatan kebakaran bagi sesebuah bangunan baru. Namun, menaiktaraf atau mengubahsuai sistem keselamatan kebakaran di bangunan warisan adalah lebih mencabar kerana terdapat konflik di antara keselamatan kebakaran dan pemuliharaan warisan bangunan. Kehendak-kehendak UBBL 1984 dan Akta Bomba 1988 secara preskriptif boleh mengakibatkan banyak perubahan terhadap nilai warisan bangunan terbabit terutamanya sistem pencegahan pasif. Oleh itu, kelonggaran diberikan terhadap bangunan warisan ini di mana pihak perunding yang dilantik akan mengemukakan pendekatan alternatif yang lebih sensitif terhadap warisan bangunan iaitu mengikut konsep ‘Performance-based Approach’. Melalui konsep ini pihak perunding akan mempersembahkan kaedah alternatif dengan laporan sokongan kepada JBPM untuk mendapat kelulusan. Menurut prinsip pemuliharaan bangunan warisan, kaedah dan sistem yang ingin digunakan perlu dipilih dan dipasang secara sensitif kepada bangunan iaitu dengan meminimakan perubahan atau kerosakan pada keaslian bangunan warisan terbabit. Dengan kata lain, semua sistem keselamatan kebakaran perlu dirancang dengan rapi tanpa mengenepikan kepentingan nilai warisan bangunan dan koleksi yang perlu dijaga. Oleh yang demikian, kepentingan nyawa dan bangunan adalah mendapat perlindungan yang saksama.

Kidd (2005) ada menyarankan kaedah keselamatan kebakaran untuk bangunan warisan perlu disediakan mengikut prinsip-prinsip berikut:

i) Perubahan Minima: Sebarang perubahan ke atas bangunan warisan mesti hanya menyebabkan kesan yang sedikit terhadap bangunan dan fabriknya;

ii) Tidak kekal: Sebarang perubahan ke atas bangunan warisan seboleh-bolehnya di pasang secara boleh ubah, dengan kata lain menggunakan pendekatan tidak kekal;

iii) Mengikut Keperluan: Dalam mencapai objektif yang ditetapkan cuma kerja-kerja yang perlu sahaja dijalankan;

iv) Sensitif: Alat pencegahan, peralatan dan sistem kebakaran hendaklah dipasang dengan memberi perhatian kepada keseluruhan keadaan bangunan, juga dengan kesan yang minima terhadap fabrik bangunan yang hendak dilindungi;

v) Bersesuaian: Kaedah pencegahan kebakaran yang ingin digunakan mesti bersesuaian dengan tahap risiko, jenis kemasan dan saiz ruang; dan

vi) Mengikut Peraturan: Walaupun kebanyakan kaedah pencegahan kebakaran adalah diperlukan mengikut undang-undang tertentu tetapi ia juga perlu mematuhi undang-undang atau peraturan-peraturan lain yang berkaitan (kehendak bangunan warisan, kebenaran merancang, standard bangunan, peraturan kebakaran dan lain-lain).

Antara faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan di dalam mengenal pasti keperluan keselamatan kebakaran yang dikehendaki untuk bangunan warisan adalah:

a) Usia bangunan dan jenis pembinaannya, keunikannya dan kesan kehilangannya kepada negara jika musnah atau rosak akibat kebakaran;

b) Lokasi bangunan;

c) Kategori penghuni atau pengguna bangunan;

d) Jenis dan nilai isi bangunan;

e) Saiz dan ketinggian bangunan;dan

f) Tahap pencegahan dan keselamatan kebakaran sedia ada di bangunan.

6.0 Kajian Kes: Muzium Bangunan Warisan

6.1 Pengenalan

Di Malaysia terdapat lebih kurang 131 buah muzium yang menyimpan dan mempamerkan koleksi bersejarah yang mempunyai nilai-nilai kebudayaan, keagamaan dan warisan untuk orang awam dan penyelidik. Institusi muzium di Malaysia adalah diurus atau ditadbir oleh beberapa pihak di antaranya:

i) Pihak Kerajaan Persekutuan (di bawah Jabatan Muzium Malaysia)

ii) Pihak Kerajaan Negeri

iii) Pihak Agensi Kerajaan (spt. Arkib Negara, PDRM, Universiti)

iv) Pihak Syarikat Kepentingan Kerajaan (spt. TM Berhad, Petronas)

v) Pihak Swasta / Individu

Muzium melalui koleksi dan aktivitinya adalah institusi pendidikan dan penyebar maklumat di samping dapat memupuk semangat kesedaran masyarakat terhadap sejarah dan budaya terutamanya untuk generasi muda (Siti Rohamini, 2002). Muzium bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat tempatan malah masyarakat antarabangsa juga ingin mengetahui sejarah dan budaya masyarakat kita, ini secara tidak langsung boleh menjana ekonomi pelancungan negara.

6.2 Kebakaran Muzium

Muzium adalah merupakan gedung khazanah sejarah dan budaya negara di mana ia menyimpan dan mempamerkan koleksi-koleksi warisan seperti manuskrip, buku, artifak, pakaian, senjata, matawang, alat muzik dan peninggalan sejarah yang lain. Koleksi-koleksi ini adalah amat tinggi nilainya tetapi kebanyakannya adalah mudah dan senang terbakar. Oleh itu adalah menjadi keutamaan bagi pihak muzium untuk memastikan bahawa khazanah negara ini sentiasa berada di dalam keadaan selamat. Tambahan pula sebanyak 55 buah muzium yang terdapat di Malaysia adalah boleh dikategorikan sebagai bangunan warisan, sama ada memang kegunaan asalnya sebagai muzium atau bangunan lama yang diguna semula (adaptive-reused) sebagai muzium. Ini menjadikan kedua-duanya: bangunan dan koleksi yang terdapat di dalam bangunan itu adalah warisan negara. Khazanah warisan ini apabila terbakar atau musnah akibat kebakaran adalah kehilangan selama-lamanya dan tidak boleh ditukar ganti walaupun melalui proses pemuliharaan yang terbaik.

Pengurusan keselamatan kebakaran yang cekap amat penting untuk bangunan muzium warisan ini kerana terdapat banyak risiko-risiko kebakaran antaranya:

i) Menyimpan khazanah warisan yang bernilai dan mudah terbakar;

ii) Struktur dan binaan bangunan yang lemah;

iii) Sistem pendawaian elektrik yang lama dan tidak dinaik taraf;

iv) Koleksi warisan yang mudah pecah, berat dan dipamerkan secara tetap;

v) Bangunan tidak mempunyai sistem pencegahan kebakaran yang baik;

vi) Tidak berpenghuni di waktu malam;

vii) Terletak di kawasan sibuk atau lorong-lorong kecil; dan

viii) Jumlah pelawat yang ramai.

Kebakaran muzium bukanlah satu perkara asing di dunia, ia telah banyak berlaku di beberapa negara sehingga ada yang mengakibatkan kerugian sebanyak USD 90 juta (Jadual 4.0). Kebakaran muzium juga telah berlaku di Malaysia iaitu Muzium Negara (1992), Muzium Rakyat, Kecantikan dan Layang-layang (2001) dan Rumah Pak Ali (2003).

Tarikh

Nama

Muzium

Punca kebakaran

Peralatan pencegahan kebakaran

Anggaran kerugian (USD)

15/04/1958

Museum of Modern Art, New York, USA

Pekerja merokok semasa kerja

Ada pengesan, tiada sprinkler

700,000

09/08/1970

Henry Ford Museum, Michigan, USA

Pemanas rambut yang terlampau panas

Sebahagian ada pengesan, tiada sprinkler

2 juta

30/09/1970

Smithsonian Institution National Museum of American History, Washington D.C. USA

Kebocoran elektrikal di bahagian pameran

Ada pengesan, tiada sprinkler

1 juta

22/02/1978

San Diego Aerospace Museum and International Aerospace Hall of Fame, California, USA

Dibakar dengan sengaja oleh 2 remaja

Tiada pengesan, tiada sprinkler

16 juta

08/07/1978

Museum of Modern Art, Rio de Janerio, Brazil

Rokok atau kerosakan elektrik

Tiada pengesan, tiada sprinkler

50 juta

31/12/1984

Byer Museum of Art, Illinois, USA

Elektrikal

Ada pengesan, tiada sprinkler

3 juta

17/10/1985

Huntington Gallery, California, USA

Kebocoran elektrik pada lif dan meletup

Ada pengesan di dalam muzium tetapi tiada di dalam lif dan tiada sprinkler

1.5 juta

11/05/1988

Bangunan Cabildo, Louisiana Museum of Art, New Orleans, USA

Percikan bunga api dari alat kimpalan dari luar bangunan ke ruang kosong

Tiada pengesan, tiada sprinkler di ruang kosong

5 juta

17/09/1992

Muzium Negara Malaysia, Kuala Lumpur, MALAYSIA

Litar pintas

(pemanas air)

30,000

20/11/1992

Istana Windsor, London, ENGLAND

Ledakan obor

Tiada pengesan, tiada sprinkler

90 juta

19/04/1993

Pusat Seni Yuma, Arizona, USA

Pendawaian elektrik

Ada pengesan, tiada sprinkler

1.5 juta

09/08/1993

Muzium Oakland, California, USA

Kerosakan motor pameran di bilik stor

Ada pengesan, tiada sprinkler

1 juta

02/06/1994

Muzium Awam Oshkosh, Wisconsin, USA

Percikan bunga api dari alat kimpalan

Tiada pengesan, tiada sprinkler di ruang kosong

2 juta

02/12/2001

Muzium Rakyat, Kecantikan dan Layang-layang, Melaka, MALAYSIA

Litar pintas

20/10/2003

Rumah Pak Ali,

Gombak, MALAYSIA

Litar pintas

> 500,000

Jadual 4.0 : Senarai kebakaran muzium di seluruh dunia dari tahun 1958 – 2003.

(Diubahsuai dari Siti Rohamini,2002)

6.3 Keselamatan Kebakaran di Muzium-muzium Kajian

Sebanyak tiga puluh tujuh (37) buah muzium telah dipilih sebagai kajian kes untuk kajian ini di mana 4 muzium di tadbir oleh Kerajaan Persekutuan, 22 muzium ditadbir Kerajaan Negeri, 9 muzium ditadbir agensi kerajaan, 1 muzium ditadbir Syarikat Kepentingan Kerajaan manakala 1 lagi muzium ditadbir oleh pihak swasta.

-tiada-

Jadual 5.0 : Lokasi muzium kajian mengikut negeri.

Pemilihan muzium di atas adalah berdasarkan beberapa faktor iaitu fizikal bangunan (usia, saiz dan jenis binaan), koleksi bangunan dan agensi pentadbir. Jadual 5.0 menunjukkan lokasi muzium kajian mengikut negeri di mana 21% muzium kajian adalah terletak di Melaka diikuti 18% lagi terletak di Kuala Lumpur. Daripada tinjauan yang dijalankan di dapati beberapa muzium terbabit masih mempunyai pengurusan keselamatan kebakaran yang lemah dan tahap keselamatan kebakaran yang tidak baik. Kelemahan keselamatan kebakaran di muzium terbabit dapat diringkaskan seperti berikut:

  1. Tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba
  2. Kesedaran keselamatan kebakaran yang lemah di kalangan pengurusan dan kakitangan
  3. Tiada polisi keselamatan dan kesihatan, termasuklah keselamatan kebakaran
  4. Pengurusan dan penyelenggaraan peralatan kawalan kebakaran yang lemah
  5. Pemadam api mudah alih telah tamat tempoh
  6. Sistem pengesan dan kawalan kebakaran yang tidak berfungsi atau tidak berkeadaan baik
  7. Papan tanda ’KELUAR’ tidak berfungsi
  8. Kakitangan tidak mempunyai latihan asas menghadapi kebakaran
  9. Tidak menjalankan latihan kebakaran (fire drill)
  10. Tidak mempunyai alat pengesan (cth: haba dan asap) dan pengawasan (cth: CCTV)
  11. Tiada prosedur kecemasan
  12. Pintu keluar kecemasan berkunci atau terhalang
  13. Laluan keluar kecemasan tidak ditandakan dengan jelas atau terhalang
  14. Sistem kawalan kebakaran terhalang dengan objek
  15. Tidak mesra orang kurang upaya (OKU)
  16. Tiada lindungan insuran
  17. Kurang pemasangan papan tanda atau notis pemberitahuan
  18. Tiada pili Bomba
  19. Kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa

7.0 Cadangan

Seperti yang dinyatakan di atas tanggung jawab keselamatan kebakaran di muzium adalah terletak kepada pihak pengurusan/majikan, kakitangan dan pihak berkuasa. Ketiga-tiga ini perlu berganding bahu untuk menjamin keselamatan pengunjung, koleksi warisan dan bangunan warisan sentiasa berada di dalam keadaan baik dan selamat. Antara saranan tindakan pro-aktif yang boleh diambil oleh ketiga-tiga pihak terbabit adalah seperti berikut:

7.1 Pihak pengurusan/ majikan:

a) Kerap mendapat nasihat pakar perunding yang bertauliah atau JBPM;

b) Mengadakan polisi keselamatan kebakaran mengikut kehendak Akta dan Peraturan

yang berkaitan; polisi ini perlu dinilai atau disemak setiap tahun;

c) Polisi diedar kepada setiap kakitangan dan mewajipkan mereka mematuhinya;

d) Memastikan sistem keselamatan kebakaran bangunan sentiasa berkeadaan baik;

e) Menyediakan pelan tindakan kebakaran (sebelum,semasa dan selepas kebakaran);

f) Kerap memeriksa dan menilai risiko bangunan dan barang koleksi;

g) Menubuhkan pasukan keselamatan kebakaran yang diketuai oleh seorang Ketua/Pengurus, latihan perlu diberikan kepada pasukan ini;

h) Menyediakan latihan asas mengawal kebakaran untuk semua kakitangan;

i) Menggadakan latihan kebakaran (fire drill) sekurang-kurangnya 2 kali setahun di bawah pengawasan JBPM, setiap kakitangan diwajipkan menyertainya;

j) Memastikan keadaan bangunan dan persekitaran adalah selamat;

k) Memeriksa dan menyelenggara secara berkala semua sistem keselamatan kebakaran;

l) Memasang atau menyediakan sistem pencegahan dan kawalan kebakaran yang bersesuaian dan terkini;

m) Menginsurankan barang koleksi dan bangunan.

7.2 Pihak Kakitangan/ Pekerja:

a) Mematuhi polisi keselamatan kebakaran yang ditetapkan oleh majikan;

b) Bekerjasama penuh dengan majikan untuk memastikan pelawat, barang koleksi dan

bangunan warisan berada di dalam keadaan selamat;

c) Sentiasa mendalami pengetahuan dan kemahiran berkaitan keselamatan kebakaran;

d) Tidak merokok semasa berada di tempat kerja;

e) Memaklumkan kepada majikan dengan segera sekiranya terdapat sebarang kepincangan;

f) Menghadiri dan melibatkan diri dalam setiap taklimat dan latihan kebakaran yang di adakan dari semasa ke semasa;

g) Mengambil tindakan yang bersesuaian sekiranya didapati majikan melanggar peraturan yang termaktub di dalam akta-akta berkaitan.

7.3 Pihak berkuasa (Kerajaan, Jabatan Bomba dll):

a) Memastikan pihak pengurusan bangunan sentiasa mematuhi semua peraturan-

peraturan yang telah ditetapkan;

b) Menjalankan penguatkuasaan yang lebih efektif dan berkesan;

c) Mengadakan garispanduan yang lengkap dan khidmat nasihat ;

d) Mewajipkan setiap bangunan warisan mempunyai sistem pencegahan dan kawalan kebakaran yang munasabah dan terkini;

e) Kerap memeriksa tahap keselamatan kebakaran di bangunan-bangunan warisan;

f) Mengadakan kempen kesedaran kebakaran dari masa ke semasa untuk semua pihak;

g) Meminda akta atau undang-undang berkaitan sekiranya perlu (cth: meningkatkan nilai penalti).

8.0 Kesimpulan

Walaupun di dapati kebanyakan muzium warisan yang dilawati masih mempunyai tahap keselamatan kebakaran yang lemah, namun masih belum terlambat bagi pihak-pihak terlibat untuk menangganinya. Namun ia perlu di beri perhatian serta-merta dan serius demi kepentingan keselamatan pengguna (kakitangan dan pelawat), koleksi warisan dan bangunan warisan. Jangan seperti kelaziman di mana bertindak atau mengambil tindakan hanya apabila sesuatu perkara buruk telah terjadi. Setiap khazanah warisan ini apabila terbakar atau musnah akibat kebakaran adalah kehilangan selama-lamanya dan tidak boleh ditukar ganti walaupun melalui proses pemuliharaan yang terbaik. Justeru itu, penglibatan dan kesedaran semua pihak adalah amat diperlukan bagi memastikan khazanah warisan negara ini terus berkekalan untuk generasi kita yang akan datang.

9.0 Rujukan

Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645)

Akta Keselamatan dan Kesihatan Kebangsaan 1994 (Akta 514)

Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341)

Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984

Hamzah Abu Bakar (Ed.) (2006). Guide to Fire Protection in Malaysia. Kuala Lumpur: The Institution of Fire Engineers (UK) Malaysia Branch (IFEM).

Hazatul Iffah Hamid (2003). Keselamatan Kebakaran pada Bangunan Warisan (Heritage Building) Yang Telah Diubahsuai Menjadi Bangunan Muzium. Kajian Kes: Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan Muzium Tuan Yang Terutama di Melaka. Tesis Sarjana Sains di Universiti Sains Malaysia.

Historic Scotland (1997). Technical Advice Note 11: Fire Protection Measures in Scottish Historic Buildings. Edinburgh: Historic Scotland.

Ismail Bahari (2006). Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill Education.

Kidd, S. (Ed.) (1995). Heritage Under Fire: A Guide to the Protection of Historic Buildings. London: Fire Protection Association.

Kidd, S. (2001). Technical Advice Note 22: Fire Risk Management in Heritage Buildings. Edinburgh: Historic Scotland.

Kidd, S. (2005). Technical Advice Note 28: Fire Safety Management in Heritage Buildings. Edinburgh: Historic Scotland.

Mohd Fadzil Mohd Idris (1997). The Development of a Fire Safety Evaluation Procedure for the Educational Establishment. Tesis Ph.D di University of Edinburgh.

NFPA 909 (2001).Code for the Protection of Cultural Resource Properties-Museums, Libraries and Places of Worship. Massachusetts: NFPA.

NFPA 914 (2001). Code for Fire Protection in Historic Structures. Massachusetts: NFPA.

Opus Consulting Ltd (2004). Guidelines for Identifying and Preventing Fire Risks to Heritage Buildings and Collections. New Zealand Fire Service Commission Research Report Number 48.

Pickard, R.(1993).Fire Safety and Protection in Historic Buildings in England and Ireland-Part I. Structural Survey, Vol. 12 No. 2, 1993/94, pp.27-31.

Siti Rohamini Yusoff (2002). Keselamatan Kebakaran Aktif dan Kesedaran Pengguna di dalam Bangunan Muzium. Tesis Sarjana Sains di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Kemaskini 190309


Comments

Unknown said…
salam..................

nama saya fairus saya nak tanya mengenai signboard, adatak law mengenai safety signboard untuk bangunan.akta yang mangatakan standart signboard untuk bangunan dimalaysia

Popular posts from this blog

Malaysian Standards on Safety and Fire Protection